Kebaikan menubuhkan syarikat

Menubuhkan syarikat di Malaysia mempunyai banyak kelebihan, terutamanya bagi usahawan dan pemilik perniagaan yang ingin mengembangkan operasi mereka secara sah dan lebih profesional.  Mari kami kongsikan.

 

1. Liabiliti Terhad

Salah satu kelebihan utama menubuhkan syarikat sendirian berhad (Sdn. Bhd.) adalah perlindungan liabiliti terhad. Ini bermaksud pemilik atau pemegang saham tidak bertanggungjawab secara peribadi ke atas hutang syarikat, berbeza dengan pemilik perniagaan milikan  tunggal (enterprise bagi panggilan awam) yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hutang perniagaan mereka. Sebagai contoh, pemegang saham tidak akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang sekiranya kreditor mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat bagi tuntutan untuk kebanyakan situasi.

 

2. Imej dan Kredibiliti Perniagaan

Syarikat yang didaftarkan secara rasmi memberikan gambaran profesional dan lebih dipercayai kepada pelanggan, pembekal, dan pelabur. Syarikat juga lebih mudah untuk memperoleh kontrak perniagaan dengan pihak kerajaan atau syarikat besar.

 

3. Akses kepada Pembiayaan dan Pelaburan

Syarikat boleh mendapatkan pinjaman bank, geran kerajaan, dan pembiayaan daripada pelabur dengan lebih mudah berbanding perniagaan milikan tunggal atau perkongsian. Ini membantu syarikat untuk berkembang dengan lebih pantas dengan adanya suntikan aliran tunai tambahan.

 

4. Kelebihan Percukaian

Syarikat menikmati kadar cukai yang lebih rendah berbanding cukai individu (bagi perniagaan milikan tunggal). Pendapatan perniagaan milikan tunggal akan dikira sebagai pendapatan bercukai secara individu yang berdasarkan rekod lepas mempunyai kadar cukai yang lebih tinggi.

Selain itu, syarikat boleh menuntut pelbagai pelepasan dan insentif cukai yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia.

 

5. Kesinambungan Perniagaan

Syarikat mempunyai status entiti undang-undang yang berasingan daripada pemiliknya. Ini bermaksud syarikat boleh terus beroperasi walaupun pemilik asal meninggal dunia atau menarik diri daripada perniagaan. Keadaan ini memberi kelebihan dalam perancangan jangka panjang dan kesinambungan operasi syarikat.  Kesinambungan perniagaan amat penting kerana perniagaan yang telah lama wujud mepunyai identiti dna imej yang unik yang sukar untuk diganti. Kesinambungan juga penting bagi memastikan kontrak yang berkaitan dengan syarikat dapat terus berjalan (sebagai contoh kontrak jualan dan pembekalan) 

 

6. Kemudahan dalam Perkongsian dan Pemilikan

Syarikat membolehkan pemilik untuk menambah rakan kongsi atau pelabur dengan lebih fleksibel melalui pemindahan saham. Ini menjadikan struktur perniagaan lebih mudah untuk berkembang tanpa mengganggu operasi harian syarikat.

 

7. Kemudahan untuk Menyertai Tender dan Projek Kerajaan

Banyak projek kerajaan dan syarikat korporat hanya menerima bidaan daripada syarikat yang didaftarkan. Oleh itu, dengan memiliki syarikat berdaftar, pemilik perniagaan mempunyai peluang yang lebih besar untuk mendapatkan projek yang menguntungkan.

 

8. Meningkatkan Peluang Pertumbuhan dan Pengembangan Pasaran

Syarikat yang berdaftar mempunyai lebih banyak peluang untuk berkembang, termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan dan antarabangsa, serta menarik lebih ramai pelanggan kerana tahap kepercayaan yang lebih tinggi.

 

Kesimpulan

Menubuhkan syarikat di Malaysia bukan sahaja memberikan perlindungan kepada pemilik perniagaan, tetapi juga membuka lebih banyak peluang untuk pertumbuhan dan kejayaan. Dengan struktur perniagaan yang sah dan tersusun, pemilik syarikat dapat menikmati kelebihan dalam aspek liabiliti, percukaian, kredibiliti, dan akses kepada pembiayaan. Oleh itu, bagi sesiapa yang serius dalam menjalankan perniagaan, menubuhkan syarikat adalah satu langkah yang bijak dan strategik.